Wanita warga emas kunjungi 66 negara dalam tempoh 25 tahun - Utusan Malaysia

Wanita warga emas kunjungi 66 negara dalam tempoh 25 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Seorang penyelidik wanita mendakwa dia sudah mengunjungi 66 negara merentasi enam benua dalam tempoh 25 tahun.

Lapor CNN, Dr. Sudha Mahalingam memperoleh peluang untuk mengunjungi semua negara tersebut kerana sering mengikuti suaminya bertugas di luar negara, selain bekerja sebagai penyelidik sumber tenaga.

Wanita berusia 70 tahun itu memberitahu, dia bekerja sebagai wartawan dua dekad lalu sebelum menjadi penyelidik dan kerjaya itu turut membolehkan dia mengunjungi pelbagai negara untuk menghadiri seminar.

Katanya, selain mengunjungi negara luar atas urusan kerja, dia juga sering melakukan pengembaraan bersendirian.

“Saya sering melakukan pengembaraan tanpa perancangan rapi. Jika saya rasa mahu pergi ke mana-mana negara, saya akan tempah tiket penerbangan dan terus pergi.

“Saya memperoleh pelbagai pengalaman menarik, malah ada yang menakutkan sepanjang pengembaraan saya ke pelbagai tempat dan negara,” katanya.

Antara pengalaman tersebut termasuk kenderaan yang dinaikinya ketika mengunjungi Kashmir ditembak oleh kumpulan pemisah, namun dia bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan.

Selain itu, Mahalingam juga pernah terkurung dalam sebuah kawasan di Iran dan ditahan pihak lapangan terbang di Nairobi, Kenya kerana tidak mempunyai bukti sudah menerima suntikan vaksin demam kuning.

Dalam pada itu, Mahalingam menyatakan kali terakhir dia pergi ke luar negara adalah pada 2019 iaitu ke Madagascar sebelum pandemik Covid-19.

Jelas wanita itu, minatnya untuk mengembara tidak pernah luntur dan akan memulakan ekspedisi baharu sebaik sahaja pintu sempadan banyak negara sudah dibuka.

“Selepas pandemik Covid-19 reda, saya bercadang untuk mengunjungi beberapa lagi negara termasuk Colombia, Petagonia, Chile dan Argentina,” ujarnya.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya