PROBOLINGGO: Seorang lelaki bertindak membakar isteri dan anaknya, menyebabkan si isteri cedera parah dengan hampir 80 peratus badannya melecur.
Detik melaporkan, aksi sadis itu berlaku di Tongas semalam dengan suspek berusia 31 tahun bertindak sedemikian terhadap isteri dan anaknya.
Suspek ditahan Polis Daerah Tongas dan berdepan tuduhan di bawah KDRT (Kekerasan Dalam Rumah Tangga).
Saksi, Sohib Ansori berkata, suspek sebelumnya bertengkar dengan isteri sebelum bertindak menyimbah minyak petrol terhadapnya.
“Suspek kemudiannya menyalakan mancis menyebabkan mangsa dan anak terbakar.
“Orang ramai bertindak memadam api dan membawa mangsa ke hospital,” katanya,
Mangsa mengalami cedera parah dengan 80 peratus badannya melecur manakala anaknya melecur di bahagian kaki.
Orang ramai sempat bertanyakan kepada si anak mengenai siapa suspek dan anaknya memberitahu itu adalah bapanya dan menunjukkan jalan ke rumahnya.
“Suspek pulang ke rumah untuk mengambil kereta, seperti mahu melarikan diri. Tetapi orang ramai dapat menangkapnya,” katanya.
Menurut maklumat, rumah tangga kedua-duanya tidak harmoni.
Tetapi polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenainya.