'Syahwat kekuasaan' ahli politik terlalu menonjol - Utusan Malaysia

‘Syahwat kekuasaan’ ahli politik terlalu menonjol

AHMAD SYAFII MAARIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YOGYAKARTA: Bekas Ketua Eksekutif Pusat Muhammadiyah, Ahmad Syafii Maarif atau lebih dikenali sebagai Buya Syafii menegur tindakan memasang papan iklan yang memaparkan wajah ahli politik ketika penularan Covid-19, menggambarkan syahwat atau keinginan untuk berkuasa yang terlalu besar.

CNN Indonesia melaporkan, papan iklan dengan gambar ahli politik menghiasi jalan-jalan di pelbagai wilayah di negara ini.

Contohnya papan iklan dengan gambar Speaker Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Puan Maharani yang disertakan dengan kata-kata termasuk papan iklan Menteri Penyelaras Ekonomi, Airlangga Hartarto.

Perkara itu dinilai kebanyakan pihak sebagai terlalu ingin menonjolkan diri supaya dicalonkan dalam pemilihan umum (Pemilu) akan datang.

“Banyak orang sudah bimbang dengan keadaan ini. Syahwat untuk berkuasa terlalu menonjol, kasihan rakyat,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Nogotirto, Gamping, Sleman.

Cendekiawan Muslim itu juga meminta ahli politik untuk bersabar, menahan diri daripada mempromosikan pencalonan (Pemilu) akan datang.

“Saya harap parti politik atau ahli politik ini menahan diri terlebih dahulu. Sayang sekali bagi negara ini, hutang negara juga meningkat, kewangan kita juga tidak baik. Pertumbuhan ekonomi juga sama, terdapat banyak anak yatim yang ibu bapanya meninggal dunia kerana Covid-19,” katanya.

Bahkan keadaan Covid-19 semasa yang didakwa bertambah baik, tambah Buya Syafii, tidak dapat menjamin keadaan yang selamat.

Menurutnya, pemerintah tidak boleh lalai dalam usaha mengawal wabak itu.

Hanya sedikit cuai, negara akan dilanda gelombang pandemik yang lain.

“Sekarang kita harus fokus ini (memerangi Covid-19) dulu, okey? Jika kita bebas, kita boleh (fikir soal pencalonan), maka kita boleh bersaing,” tambah Buya Syafii.

Melihat sikap ahli politik dengan papan iklan, Buya Syafii juga menganggap wajar jika kritikan terus muncul di masyarakat, misalnya, dalam bentuk lukisan grafiti atau sindiran di tembok kota atau mural.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN