Saintis bongkar wabak di Wuhan diketahui dua minggu lebih awal - Utusan Malaysia

Saintis bongkar wabak di Wuhan diketahui dua minggu lebih awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Seorang ahli epidemiologi terkemuka dunia mendedahkan wabak yang melanda Wuhan sebenarnya sudah diketahui dua minggu lebih awal, sebelum didedahkan kepada badan kesihatan global. 

Lapor Daily Mail, pendedahan Ian Lipkin yang merupakan seorang profesor di Universiti Columbia itu dilihat menggugat China mengenai naratif kejadian asal usul wabak dan melemahkan usaha negara itu untuk menyembunyikan kebenaran mengenai kemunculan wabak tersebut.

Dalam sebuah dokumentari, Lipkin memberitahu, beliau mengetahui ‘wabak baharu’ itu pada tarikh 15 Disember. 

Pihaknya mengesan penyakit itu dengan rakan-rakannya yang berkhidmat di Pusat Kawalan Penyakit serta dalam Kerajaan Persekutuan negara itu sebelum mengunjunginya untuk menyiasat perkara itu bulan berikutnya. 

Beliau berkata, rakan penyelidiknya dari China, Lu Jiahai memberitahu wabak itu dapat dicegah sekiranya sistem peringatan berfungsi dengan baik. 

Tambah beliau, pihaknya turut bertemu dengan Perdana Menteri China, Li Keqiang dan saintis terkemuka bagi membincangkan penyakit berkenaan semasa kunjungannya ke negara itu. 

Beliau meramalkan virus baharu itu bakal menyebabkan kematian lebih sedikit daripada wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang muncul 2002, namun tetap memberi peringatan mengenai potensi wabak itu menjadi pandemik. 

Namun, beliau mengakui pandangannya berubah selepas mengetahui eksperimen berisiko tinggi pada koronavirus kelawar itu dilakukan oleh saintis Wuhan di makmal penyelidikan yang berteknologi rendah.

“Sekiranya mereka mendapati ratusan sampel kelawar yang masuk, dan beberapa daripadanya tidak dicirikan, bagaimana mereka tahu sama ada virus ini ada atau tidak di makmal ini?,” soalnya.

Prof. Lipkin yang dijangkiti Covid-19 selepas kembali ke Amerika Syarikat adalah tokoh penting dalam perdebatan mengenai asal-usul wabak dan percubaan untuk menyekat  hipotesis kebocoran makmal oleh pertubuhan saintifik.

Beijing berusaha menyembunyikan data, mendiamkan doktor, memenjarakan wartawan, menyalahkan negara lain dan menentang siasatan yang dilakukan oleh badan kesihatan global.

Menurut beliau, pihaknya juga tidak mempunyai sebarang komen atau pandangan substantif terbaharu yang boleh dibuat masa kini. 

“Wabak penyakit berjangkit berlaku secara berterusan di seluruh dunia. Sebilangan besar tidak pernah mendapat perhatian organisasi yang lebih besar kerana mereka tidak berkembang menjadi pandemik,” katanya.  

Dalam pada itu, Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negeri, Tom Tugendhat berkata, kronologi wabak yang berlaku di Wuhan masih memerlukan jawapan bagi memastikan semua pihak dapat menghindari pandemik sebegini daripada berulang lagi. 

“China perlu berhenti menghalang dunia dari memahami apa yang terjadi.  

“Latar belakang virus di Wuhan masih menimbulkan banyak pertanyaan yang sangat memerlukan jawapan untuk memastikan kita menghindari berulang wabaknya yang telah menyakitkan kita semua. 

“China perlu berhenti meletakkan halangan untuk membolehkan dunia dapat memahami apa yang terjadi dan mempelajari semua untuk mencegah berlakunya pandemik di masa depan,” katanya yang juga ahli Parlimen Tory. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN