Rakyat Lubnan hilang harapan - Utusan Malaysia

Rakyat Lubnan hilang harapan

SEORANG wanita mendukung anak kecilnya yang sedang memegang sebungkus roti dari sebuah kedai bakeri di Nabaa, pinggir bandar Beirut, ditengah-tengah kekurangan barangan asas akibat krisis ekonomi di Lubnan. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Satu-satunya talian hotline diwujudkan bagi membantu mencegah bunuh diri di Lubnan, dibanjiri panggilan ketika rakyat semakin terdesak dengan tahap kemerosotan kewangan sehingga mencetuskan krisis kesihatan mental.

Dalam satu panggilan di­terima oleh sebuah pertubuhan yang mengendalikan talian itu, seorang lelaki menyatakan mahu membunuh diri kerana tidak mampu lagi menampung menyediakan makanan untuk anak-anaknya.

Menerusi satu lagi panggilan, seorang penduduk yang kehilangan tempat tinggal me­nyatakan sudah hilang semua harapannya.

Puluhan panggilan demikian diterima setiap hari dan sekitar 1,100 panggilan dalam tempoh sebulan, di negara yang me­nyaksikan ramai pakar kesihatan meninggalkan kerjaya mereka selain kekurangan bekalan perubatan untuk merawat keresahan dan kemurungan.

Jumlah panggilan yang di­terima meningkat dua kali ganda berbanding tahun lalu.

Bilangan itu dijangka terus meningkat dalam beberapa bulan akan datang memandangkan harapan malap bagi sebahagian besar populasi yang terkesan dengan kesengsaraan yang seolah-olah tiada kesudahan.

“Suatu hari pada bulan ini, kami terbangun pukul 5.30 pagi selepas menerima panggilan seorang individu berusia 31 tahun yang kehilangan tempat tinggal, mahu membunuh diri di jambatan Beirut,” kata Pengasas bersama dan Naib Presiden Embrace, Mia Atoui.

Sebuah klinik menawarkan terapi percuma dikendalikan pertubuhan itu, ditempah sepenuhnya sehingga bulan depan.

“Ramai penduduk sudah hilang harapan,” kata Atoui.

Sejak bermulanya krisis kewangan negara pada 2019, ramai penduduk mengalami tekanan emosi dan diburukkan lagi de­ngan Covid-19 serta tragedi letupan Pelabuhan Beirut. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN