Perang Korea tak akan berakhir – Pyongyang - Utusan Malaysia

Perang Korea tak akan berakhir – Pyongyang

TENTERA Korea Selatan memasang sekatan di pusat pemeriksaan di jambatan Tongil yang memisahkan dengan Korea Utara. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PYONGYANG: Pemimpin Korea Utara menegaskan ‘Perang Korea yang berlangsung sejak 1950 hingga 1953’ belum berakhir dan akan berterusan selagi Amerika Syarikat (AS) mengekalkan dasar ‘permusuhan’ terhadap Pyongyang.

Awal minggu ini, Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in mengulangi seruan deklarasi bagi menamatkan secara rasmi Perang Korea, sekali gus menandakan usaha terkini untuk menjalinkan hubungan dengan Korea Utara semasa era kepe­mimpinannya.

Beliau membangkitkan isu itu semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Selasa lalu, dengan mencadangkan dua negara Korea dengan AS atau AS dengan China untuk membuat deklarasi itu.

Beliau mencadangkan negara terlibat perlu bersatu mengumumkan berakhirnya Perang Korea serta mencipta bab baharu perdamaian dan kerjasama.

“Korea Utara perlu bersiap sedia menghadapi perubahan yang menguntungkan masyarakat global. Saya berharap masyarakat antarabangsa sentiasa bersedia menerima Korea Utara dengan semangat kerjasama,” katanya.

Cadangan itu disuarakan bagi meredakan ketegangan di wilayah itu, seminggu selepas kedua-dua negara menguji peluru berpandu balistik.

Presiden AS, Joe Biden yang turut berucap semasa UNGA menyatakan kesediaan AS yang mahu ‘diplomasi berkekalan’ bagi menyelesaikan krisis prog­ram peluru berpandu nuklear dan balistik Korea Utara.

Mengulas mengenai seruan Jae-in, Timbalan Menteri Luar Korea Utara, Ri Thae-song berkata, ucapan itu adalah tindakan pramatang kerana tiada jaminan ia akan menyebabkan AS menarik balik ‘polisi permusuhan’ terhadap negara ini.

“Tiada apa yang akan berubah selagi keadaan politik di sekitar Korea Utara tidak berubah dan dasar permusuhan AS tidak berubah, walaupun penamatan perang diisytiharkan beratus kali,” tegasnya.

Perang Korea yang berlangsung sejak 1950 hingga 1953 secara teknikalnya belum tamat apabila konflik itu hanya ber­akhir dengan gencatan senjata dan bukan melalui perjanjian damai. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya