PHNOM PENH: Pelajar Institut Politeknik Negara Kemboja (NPIC) berjaya mencipta prototaip dron hanya menggunakan beberapa buah kerusi sekolah.
Jurupandu dron, Lonh Vannsith, 21, berkata, rekaan itu menelan belanja sebanyak AS$20,000 (RM83,700) yang dilengkapi lapan kipas bagi membolehkannya terbang setinggi empat meter.
Kumpulan pelajar itu asalnya mendapat idea reka bentuk tersebut untuk mengatasi kesesakan jalan raya serta berharap dapat digunakan sebagai alat pengangkutan bagi penduduk sekitar Phnom Penh.
“Dron itu apabila diterbangkan tanpa jurupandu kelihatan sedikit bergoyang, tetapi apabila saya duduk dan memandunya, ia kelihatan lebih stabil dan saya sangat teruja.
“Kami mahu menyelesaikan beberapa masalah yang dihadapi masyarakat dengan mencipta dron teksi dan dapat membawa hos air bagi membantu anggota bomba memadam kebakaran di tempat tinggi,” katanya.
Proses kajian dan pembangunan reka cipta itu memakan masa selama tiga tahun dan tertangguh akibat pandemik Covid-19.
Pasukan pelajar itu berharap dapat meningkatkan kualiti reka bentuk dron supaya dapat membawa lebih muatan dan terbang lebih tinggi pada masa depan.-AGENSI