GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk tindakan kekerasan kumpulan Taliban yang semakin ganas terhadap orang ramai dalam protes baru-baru ini.
Ia berlaku beberapa minggu selepas kumpulan mengambil alih kuasa di Afghanistan.
Lapor BBC, menurut PBB, anggota Taliban telah membunuh empat penunjuk perasaan dalam satu protes.
Beberapa tunjuk perasaaan diadakan di seluruh Afghanistan sejak Kabul jatuh pada tangan Taliban pada 15 Ogos lalu.
Protes itu antara lain menuntut Taliban menghormati hak wanita dan kebebasan orang awam.
PBB dalam satu laporan memaklumkan Taliban menggunakan baton dan peluru hidup terhadap penunjuk perasaan yang melakukan protes.
“kami menggesa Taliban segera menghentikan kekerasan dan penahanan terhadap penunjuk perasaan yang protes secara aman dan wartawan yang membuat liputan berita,” kata jurucakap Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia menerusi kenyataan. – AGENSI










