MH17: ‘Mereka bohong, saya benci, dendam, marah’ - Utusan Malaysia

MH17: ‘Mereka bohong, saya benci, dendam, marah’

KETUA Hakim, Hendrik Steenhuis memeriksa bangkai pesawat MH17 yang dibentuk semula di pangkalan tentera Gilze-Rijen, Belanda. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMSTERDAM: Ahli keluarga 298 mangsa terkorban dalam tragedi pesawat MH17 yang ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine pada 2014, kini menuntut keadilan dari Rusia.

Lapor Al Jazeera, tuntutan itu dibuat ketika mereka memberi kete­rangan buat pertama kali dalam perbicaraan terhadap empat suspek di Belanda, semalam.

Ahli keluarga penum­pang dan anak kapal yang terbunuh dalam tragedi pada 17 Julai 2014, me­nyatakan mereka tidak dapat berhenti meratapi kehilangan orang tersa­yang sehingga pihak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

Pesawat Boeing 777 ditembak jatuh ketika dalam perjalanan dari Amsterdam menuju ke Kuala Lumpur di ruang udara timur Ukraine.

Pasukan penyiasat antarabangsa berkata, pesawat milik Malaysia Airlines itu ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu buatan Rusia oleh pemberontak pro-Moscow dari timur Ukraine, namun Rusia menafikan penglibatan itu.

Di bawah undang-undang Belanda, ahli keluarga dan waris dibenarkan untuk membuat kenyataan impak mangsa di mahkamah tanpa di­ajukan pertanyaan.

Kira-kira 90 waris mangsa tragedi dijang­ka memberi keterangan dalam tempoh tiga ming­gu akan datang termasuk individu bercakap menerusi pautan video secara langsung dari luar negara.

RIA van der Steen (tengah) tiba di Kompleks Kehakiman Schiphol di Badhoevedorp, semalam bagi memberi keterangan mengenai nasib menimpa pesawat MH17 pada 2014. – AFP

“Selain keputusannya, saya rasa ini adalah hari yang paling penting bagi ahli keluarga mang­sa kerana mereka dapat bercakap di mahkamah, dengan suspek dan pihak yang bertanggungjawab walaupun di mana sahaja mereka bersembunyi.

“Jadi, ini adalah satu bentuk komunikasi de­ngan pihak bertanggungjawab terhadap tragedi ini,” kata peguam yang mewakili keluarga mang­sa, Peter Langstraat.

Sementara itu, Ria van der Steen yang kehila­ngan bapanya, Jan dan ibu tiri, Nell dalam tragedi itu, memetik karya penulis Rusia, Alexander Solzhenitsyn: “Mereka berbohong, kami tahu mereka berbohong dan mereka sedar kami tahu mereka berbohong’’.

“Saya berasa benci, dendam, marah dan takut. Saya tahu mereka sudah tiada dan tidak dapat bertemu lagi namun saya tidak boleh titipkan selamat tinggal sehingga pihak bertanggungjawab didapati bersalah atas tindakan mereka,” katanya yang menjadi saksi pertama memberi keterangan di mahkamah.

Menurut Van der Steen, dia mengalami mimpi buruk seperti berjalan melalui serpihan untuk mencari bapanya selepas tragedi itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN