SINGAPURA: Sekumpulan penyelidik dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU) menghasilkan pembalut gel antibakteria dengan hanya menggunakan kulit durian.
Pengarah Program Sains dan Teknologi Makanan di NTU, Profesor William Chen berkata, proses itu dilakukan dengan mengeluarkan serbuk selulosa daripada kulit durian selepas ia dihiris serta dibekukan.
Menurut William, serbuk itu kemudian dicampurkan dengan gliserol.
Katanya, campuran tersebut akan menjadi hidrogel lembut yang kemudian dipotong menjadi kepingan pembalut.
“Rakyat Singapura memakan kira-kira 12 juta durian dalam tempoh setahun, jadi selain isinya, kita tidak dapat melakukan apa-apa dengan kulit dan biji buah itu.
“Ini juga menyebabkan pencemaran alam sekitar,” katanya seperti dilaporkan Reuters.
Jelas William, kulit durian biasanya dibuang dan dibakar sekali gus menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.
Tambah beliau, teknologi sedia ada juga boleh mengubah sisa makanan lain seperti kacang soya dan bijirin menjadi hidrogel yang membantu mengehadkan pembaziran makanan.
Katanya, berbanding pembalut biasa, pembalut jenis organo-hidrogel mampu mengekalkan bahagian luka sentiasa sejuk dan lembap yang dapat membantu mempercepatkan proses penyembuhan.
Sementara itu, pasukan penyelidik memberitahu penggunaan bahan-bahan buangan dan yis untuk menghasilkan pembalut antimikrob lebih berkesan berbanding pengeluaran pembalut biasa.