Kos projek HSR Jakarta-Bandung naik RM8.3 bilion  - Utusan Malaysia

Kos projek HSR Jakarta-Bandung naik RM8.3 bilion 

PEMBINAAN projek kereta api pada Mei tahun lalu. - XINHUA     
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Pembinaan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Jakarta-Bandung dilaporkan mengalami peningkatan kos kira-kira AS$2 bilion (RM8.3 bilion).

Lapor South China Morning Post, projek itu yang merupakan sebahagian daripada skim infrastruktur inisiatif `Belt and Road’ turut berdepan cabaran lain termasuk komunikasi tidak berkesan antara pihak Indonesia dan China.

Menurut Kereta Api Indonesia (KAI), anggaran kos projek HSR Jakarta-Bandung meningkat kepada AS$7.9 bilion (RM32.8 bilion) berbanding bajet asal kira-kira AS$6 bilion (RM24.9 bilion).

Jelas pengendali kereta api milik kerajaan, peningkatan kos itu disebabkan oleh perubahan pada harga bahan dan peralatan serta kelewatan akibat proses pengambilan tanah.

“Pada September 2019, sudah ada petunjuk potensi kenaikan kos ketika projek itu mengalami penangguhan, tambahan pula dilanda pandemik Covid-19 pada Mac tahun lalu.

“Kebimbangan anda bahawa kos ini akan menjadi beban kepada negara, itulah yang akan berlaku,” kata Presiden KAI, Didiek Haryanto pada persidangan Parlimen.

Indonesia mahu menggunakan sebanyak AS$287.5 juta (RM1.19 bilion) dana kerajaan tahun depan untuk membayar lebihan kos projek tersebut.

KAI merupakan sebahagian daripada konsortium Indonesia yang mempunyai 60 peratus Kereta Cepat Indonesia-China (KCIC), usaha sama dengan konsortium China yang memiliki baki 40 peratus. 

Sementara itu, KAI turut mendedahkan konsortium Indonesia masih belum membayar sumbangan modal asas sebanyak 4.3 trilion rupiah (RM1.25 bilion) kepada KCIC.

“Dalam perjanjian perniagaan, biasanya kita mendeposit modal asas sebelum meneruskannya namun setakat ini kita belum melakukan perkara itu lagi,” kata Pengarah Kewangan dan Pengurusan Risiko KAI, Salusra Wijaya pada persidangan itu.

Tambah beliau, pihak Indonesia mungkin gagal dalam perjanjian itu mengikut syarat perjanjian sumbangan modal projek tersebut. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya