AMAT jarang duta asing berlatar belakang ijazah doktor falsafah, namun DR. MOHEB RAHMAD SPINGHAR antara ketua misi diplomatik yang bukan sembarangan status akademiknya. Duta Besar Afghanistan ke Malaysia yang berusia 60 tahun pada 9 September ini malah fasih bahasa Rusia, Jerman, Hindi selain Inggeris dan juga bahasa ibundanya sendiri, Pashto. Dilahirkan di Wilayah Nangarhar, kira-kira 130 kilometer dari ibu kota Kabul, beliau sanggup meninggalkan isteri dan tiga anaknya demi tugas di Kuala Lumpur sejak 2019.
Ikuti pandangan beliau mengenai isu kejatuhan kerajaan Afghanistan pimpinan Presiden Mohammad Ashraf Ghani pada 15 Ogos lalu dan peralihan semula kepada pemerintahan Taliban dalam wawancara khas bersama wartawan Utusan Malaysia, AMREE AHMAD dan jurugambar, FAUZI BAHARUDIN.
UTUSAN: Apa perasaan tuan apabila dengar berita Afghanistan jatuh ditawan Taliban?
MOHEB RAHMAN: Reaksi agak bercampur, mungkin terkejut sedikit tetapi memang sudah dapat dijangka lebih awal apabila Amerika Syarikat (AS) umum tarik keluar tenteranya.
Bagaimana pula reaksi warga Afghanistan di seluruh dunia khasnya di Malaysia?
Mereka tenang walaupun mungkin agak terperanjat sedikit peringkat awal dan saya sentiasa berhubung rapat ramai rakyat Afghanistan di negara ini serta luar negara bagi tanya khabar. Mungkin sebab ada pengalaman pernah diperintah Taliban dari 1996 sebelum ditawan AS pada 2001, namun ada pandangan Taliban kini jauh bezanya berbanding dahulu.

Kenapa kerajaan demokratik Afghanistan mudah tumbang begitu cepat?
Secara peribadi, isu korupsi berleluasa mungkin faktor penyumbang dengan ada pemimpin lalu secara terbuka curi dana jutaan dolar disumbangkan badan asing bagi misi kemanusiaan. Kebajikan rakyat juga diabai selain tiada perpaduan kukuh apabila mereka lebih fikir nasib diri sendiri, mengamalkan puak tertentu sehingga kawalan kerajaan pun semakin rapuh, lemah.
Kenapa AS tidak berbuat sesuatu sepanjang 20 tahun berada di Afghanistan?
Pentadbiran AS lebih bersifat isu ketenteraan dan tidak ambil peduli soal dalaman tempatan kerana misi mereka lebih kepada agenda balas dendam pasca insiden 11 September 2001. Bayangkanlah, kejatuhan kerajaan Afghanistan boleh dicatatkan dalam rekod dunia Guinness sebab terlalu cepat berlaku dan tanpa dijangka sehingga Presiden terpaksa melarikan diri.
Bagaimana dasar hubungan luar oleh pihak kerajaan sekarang?
Saya tidak dapat ulas lebih terperinci kerana belum lagi dibentuk Kabinet, malah Kementerian Luar di Kabul juga tidak beroperasi, semuanya sunyi macam vakum dan tiada pun kerajaan. Setakat ini, belum ada apa-apa perubahan besar walaupun dakwaan konon akan berlaku pertukaran nama negara, bendera rasmi dan sebagainya itu lebih spekulasi oleh pihak tertentu.
Apakah pula tanggapan terhadap imej Taliban, adakah sama seperti sebelum ini?
Saya tidak berani kata mereka kerajaan berfahaman teologi tetapi perlu ada ramai profesional dan berjiwa inklusif jika mahu berjaya mentadbir negara secara lebih telus serta amat cekap. Namun, ada hikmah tersirat kejatuhan itu apabila tiada lagi isu perang saudara dan kawalan tentera asing yang cukup ketara sebelum ini, malah rakyat tidak peduli nasib pemimpin lama.
Bagaimana kedutaan Afghanistan di seluruh dunia, adakah akan berlaku seperti kes Myanmar?
Masih terus beroperasi seperti biasa kerana sebagai diplomat dan penjawat awam, kami kena harus terus setia kepada tanah air tercinta tidak kira siapa kerajaan yang memerintah negara. Kami juga tidak lari macam pemimpin kami yang tidak bertanggungjawab apabila hilang pergi ke luar negara sejurus selepas Kabul jatuh ke tangan Taliban, malah misi diplomatik pun dibuka normal.
Hubungan Malaysia dengan Afghanistan?
Sedih. Ada lebih 4,000 warga Afghanistan di Malaysia sama ada belajar atau bertugas di sini tetapi di Afghanistan pula cuma dua rakyat Malaysia dan itupun sukarelawan antarabangsa. Lebih rasa aib, tiada pun kedutaan di Kabul tetapi segala urusan ditadbir Suruhanjaya Tinggi Malaysia dari New Delhi, India walhal kami ada kedutaan di Kuala Lumpur sejak 1990-an.
Kenapa agaknya perkara itu boleh berlaku?
Mungkin ramai lebih tertarik kepada rantau Asia Tengah yang juga bekas Kesatuan Soviet, serta persepsi imej negatif kononnya Afghanistan sebagai negara bergolak dan tidak selamat. Namun ramai terlupa, Afghanistan kaya bahan mentah dan sumber manusia murah serta hab pintu masuk ke banyak negara berjiran iaitu Iran, Uzbekistan, Turkmenistan dan Tajikistan.
Apakah harapan tuan mengenai prospek masa depan Afghanistan?
Saya optimis dan positif perubahan kepimpinan akan membawa banyak faedah terutama dari segi ekonomi apabila kurang amalan penyelewengan dengan urus tadbir menjadi lebih baik. Pada masa sama, saya sedia bantu pelabur Malaysia berminat membina semula Afghanistan demi kepentingan saudara seagama yang memerlukan dan meyakini nama baik negara ini.











