JAKARTA: Naib Presiden Indonesia, Ma’ruf Amin berkata, pekerja yang merupakan lulusan pendidikan tinggi di negara ini hanya sekitar 13.3 juta orang atau 10 peratus daripada sejumlah 137 juta pekerja.
CNN Indonesia melaporkan, catatan itu berdasarkan data Badan Pusat Statistik sehingga Februari lalu.
Menurut Ma’ruf, data itu mempunyai kaitan dengan kualiti, produktiviti dan daya saing pekerja Indonesia.
Oleh yang demikian beliau berharap pada masa akan datang pelajar-pelajar di negara ini dapat menjadi graduan yang berkelayakan, akademik unggul dan berdaya saing.
“Kemajuan sebuah negara ditentukan oleh kualiti pendidikan untuk sumber daya manusia. Pendidikan adalah faktor terpenting dalam mewujudkan sebuah negara yang bermaruah,” katanya ketika berucap dalam rapat terbuka senat Universiti Islam Malang.
Ma’ruf menekankan, pemerintah meletakkan pembangunan sumber manusia yang unggul sebagai program keutamaan nasional.
Sumber manusia yang unggul katanya, adalah kunci bagi Indonesia untuk memenangi persaingan global.
Jelasnya, sumber daya manusia yang unggul mesti menjadi tanda nasionalisme bagi milenium yang akan membawa tongkat untuk kemajuan Indonesia di masa depan.
“Anda semua mesti memiliki kemampuan untuk bersaing di peringkat global, tetapi identiti anda harus tetap melekat pada identiti dan perwatakan orang Nusantara,” katanya.
Di samping itu, Ma’ruf mendorong pembelajaran tatap muka (PTM) yang terhad diadakan di kawasan yang menerapkan tahap Penguatkuasaan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) 1-3.
Ma’ruf juga meminta seluruh komuniti akademik untuk memainkan peranan aktif dalam menjayakan program vaksinasi Covid-19.