DOHA: Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani memberi peringatan tindakan meminggirkan Taliban hanya menyebabkan ketidakstabilan berpanjangan di rantau itu.
Oleh itu, beliau menggesa negara-negara lain menjalinkan kerjasama dengan kumpulan itu bagi menjamin aspek keselamatan dan sosio ekonomi di Afghanistan, lapor AL-Jazeera.
“Sekiranya kita meletakkan syarat dan berhenti daripada menjalinkan hubungan, kita hanya meninggalkan ruang kosong di negara itu.
“Soalnya siapa yang akan mengisi kekosongan itu?” tanya beliau bersama rakan sejawat dari Jerman, Heiko Mass.
Setakat ini, tiada mana-mana negara yang mengiktiraf Taliban sebagai sebuah kerajaan di Afghanistan selepas kumpulan itu menawan Kabul, 15 Ogos lalu.
Negara Barat pula menggesa kumpulan itu membentuk sebuah kerajaan inklusif dan menghormati hak kebebasan manusia.
“Kami percaya tanpa sebarang jalinan hubungan, kita tidak boleh mencapai kemajuan sebenar terhadap aspek keselamatan dan sosioekonomi,” jelasnya.
Sheikh Mohammed turut menentang sebarang aktiviti ‘keganasan’ selepas pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) selama 20 tahun di negara itu.
“Kita perlu memainkan peranan untuk menggesa Taliban mempunyai kerajaan yang inklusif terdiri daripada semua parti politik.
“Semasa sesi perbincangan Qatar dengan Taliban baru-baru ini, tiada sebarang maklum balas positif atau negatif diberikan,” ujarnya.