JAKARTA: Agensi Kripto dan Siber Negara (BSSN) mendedahkan sebanyak 888 juta serangan siber melanda Indonesia dari Januari hingga Ogos lalu, lapor CNN Indonesia.
Ketua BSSN, Hinsa Siburian berkata, kebanyakan serangan siber yang melanda negara dalam bentuk malware, perkhidmatan denial atau aktiviti yang mengganggu perkhidmatan rangkaian seperti virus trojan.
Jelasnya, trend serangan siber di Indonesia kerap kali berlaku dalam serangan ransomware atau malware yang menyebabkan kebocoran data.
“Dalam dunia siber, risiko terdedah itu sangat besar. Jika tidak bersedia, sudah tentu akan menjadi sukar kelak,” katanya.
Menurut Hinsa, peningkatan serangan siber disebabkan kepesatan penggunaan teknologi.
Katanya, serangan siber di negara lain lebih membimbangkan kerana turut menyasarkan pelaburan kripto.
Walaupun Indonesia berdepan cabaran sama, namun negara ini masih mampu mengawal ancaman serangan itu sebaiknya.
“Serangan siber sekarang boleh menyasarkan manusia. Sebagai contoh, kerap kali berlaku penyebaran berita palsu dalam media sosial,” jelasnya.










