India catat 328 kes kematian nahas jalan raya setiap hari - Utusan Malaysia

India catat 328 kes kematian nahas jalan raya setiap hari

SEBANYAK 120,000 kes kematian nahas jalan raya disebabkan kecuaian dilaporkan di India pada 2020. - BCCL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Kes kemalangan jalan raya kekal menjadi salah satu punca paling besar kematian di India.

Lapor India Times, meskipun perintah berkurung dilaksanakan akibat pandemik Covid-19, India merekodkan sebanyak 120,000 kes kematian nahas jalan raya disebabkan kecuaian pada tahun lalu.

Ini bermakna, kira-kira 328 orang kehilangan nyawa hampir setiap hari.

Statistik itu didedahkan Biro Rekod Pencegahan Jenayah Nasional (NCRB) menerusi laporan tahunan Crime India bagi tahun 2020.

Berdasarkan data kerajaan, sebanyak 136,000 kes kematian akibat kemalangan jalan raya dilaporkan pada 2019 diikuti 135,000 kematian pada 2018.

Menurut laporan itu, seba­nyak 392,000 kes kematian nahas jalan raya disebabkan ke­cuaian dicatatkan dalam tempoh tiga tahun tersebut.

“Walaupun kes kematian aki­bat jalan raya pada 2020 adalah lebih rendah berban­ding 2019 namun jumlah­nya masih membimbangkan kerana pelaksanaan perintah berkurung dari 25 Mac hingga 31 Mei sudah mengehadkan pergerakan orang awam,” jelas laporan itu.

Menurut laporan NCRB, India merekodkan sebanyak 135,000 kes kemalangan langgar lari sejak 2018.

“Sebanyak 41,196 kes langgar lari direkodkan pada 2020, diikuti dengan 47,504 pada 2019 dan 47,028 pada 2018.

“Secara purata, sebanyak 112 kes langgar lari dilaporkan di seluruh negara hampir setiap hari pada tahun lalu,” jelas laporan itu.

Sementara itu, sebanyak 52 kes kematian kemalangan kereta api disebabkan kecuaian direkodkan pada tahun lalu.

“Sebanyak 55 kes kematian kemalangan kereta api dicatatkan pada 2019 dan 35 kes pada 2018,” jelas laporan itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN