MOGADISHU: Wanita pertama yang dilantik sebagai Menteri Luar, Fawzia Yusuf H. Adam dilaporkan akan bertanding merebut jawatan Presiden Somalia pada pilihan raya akan datang.
Fawzia yang juga Timbalan Perdana Menteri Somalia menyatakan hasrat untuk menyandang jawatan tertinggi negara dalam satu temu bual bersama agensi berita AP.
Menurut Ahli Parlimen itu, beliau sedar akan cabaran bakal dihadapi untuk meraih undi di negara yang mana kaum wanita sering dipinggirkan.
Dalam temu bual itu, Fawzia menjelaskan mengenai cabaran ditempuh ketika memimpin sebuah Kementerian Luar yang didominasi oleh kakitangan lelaki.
“Mereka enggan bekerjasama dengan saya hanya kerana saya wanita,” katanya.
Fawzia berkata, beliau percaya pencalonannya untuk jawatan Presiden adalah berbaloi dan tidak sia-sia di beberapa peringkat.
“Saya mahu memecahkan halangan ini terhadap wanita supaya lebih ramai akan tampil bertanding dan menang,” katanya sambil menambah sudah tiba masanya untuk memperjuangkan hak wanita.
Dilaporkan, walaupun ramai wanita berpendidikan kembali ke Somalia untuk membantu membangunkan semula negara selepas dilanda konflik selama tiga dekad, sikap rakyat terhadap pencalonan Fawzia masih skeptikal.
Malah, kawan dan rakan sekerja melihat peluang Fawzia memimpin negara ini sebagai mustahil disebabkan jantinanya.
“Beliau sangat bagus tetapi malangnya beliau adalah wanita,” kata seorang doktor di Hospital Memorial Mogadishu, Abdiwahid Mohamed Adam.
Kata Abdiwahid, hakikatnya Fawzia berasal dari Somaliland yang berpisah, kawasan agak stabil di bahagian utara yang sudah beberapa tahun mendapatkan pengiktirafan antarabangsa sebagai sebuah negara merdeka.










