MALUKU: Penduduk setempat berbondong-bondong mengambil minyak tanah yang tumpah dari lori terbalik tanpa menghiraukan letupan yang boleh berlaku pada bila-bila masa di Desa Iti, Seram Barat.
Lapor Kompas.com, lori tangki Pertamina dengan muatan sekitar 5,000 liter minyak tanah dalam perjalanan untuk menyalurkan minyak ke beberapa kawasan di daerah Seram Barat.
Disebabkan laluan jalan yang sempit, lori tangki tersebut terbabas dan terbalik ke luar jalan raya sehingga mengakibatkan beribu-ribu liter minyak tanah tumpah.
Seorang saksi berkata, dia melihat ramai penduduk terutamanya golongan wanita mengambil kesempatan untuk mengambil minyak tanah menggunakan tong.
Katanya, ada individu yang melarang dan memberi peringatan kepada penduduk kerana bimbang akan berlaku ledakan akibat tumpahan minyak itu.
“Penduduk tetap nekad mengambil minyak tanah yang tertumpah itu. Walaupun ada yang melarang, namun, mereka hanya ketawa sahaja dengan amaran tersebut,” katanya.
Ketua Polis Seram Barat, Chris Soissa mengesahkan kejadian tersebut dan mendapatkan keterangan daripada pemandu lori tangki tersebut.