JEDDAH: ‘Tiada keperluan untuk pengambilan dos ketiga atau dos penggalak vaksin Covid-19’.
Demikian ditegaskan pakar kesihatan Arab Saudi seperti dilaporkan Arab News semalam.
“Jika dua dos vaksin berupaya mencegah penyakit teruk atau kemasukan ke hospital atau kematian, tidak munasabah untuk masyarakat menerima dos ketiga,” jelas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Abdullah Assiri.
Beliau yang juga pakar perunding penyakit berjangkit berkata, ketika vaksin diberikan secara meluas dan baik, semua pihak perlu mempertimbangkan semula rasional dan kaedah ujian saringan makmal untuk Covid-19.
Ini jelasnya, termasuk menilai pandemik hanya dari segi beban penyakit kepada masyarakat.
Beliau memberikan ulasan tersebut susulan cadangan suntikan dos penggalak vaksin Pfizer untuk masyarakat umum dan suntikan ketiga kepada individu berusia 65 tahun ke atas dan kumpulan rentan.
Pandangan sama turut diberikan oleh pakar penyakit berjangkit, Ahmed Al-Hakawi yang memberitahu, pemberian dos ketiga tidak disokong oleh kajian.
Beliau merujuk kajian bertajuk ‘Safety and Efficacy of the BNT162b2 mRNA Covid-19 Vaccine through 6 Months’ yang diterbitkan pada 15 September lalu, dilakukan terhadap lebih 45,000 peserta di enam negara.
Menurut beliau, kajian itu menyimpulkan ‘melalui susulan selama enam bulan dan meskipun penurunan keberkesanan vaksin secara bertahap, BNT162b2 memiliki profil keselamatan yang baik dan sangat berkesan dalam mencegah Covid-19’.