Cukup-cukuplah, biar kami pulih sendiri – Libya - Utusan Malaysia

Cukup-cukuplah, biar kami pulih sendiri – Libya

PENDUDUK Libya berhimpun untuk menyatakan sokongan kepada kerajaan perpaduan di Martyrs’ Square di Tripoli. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Usaha Libya untuk pulih daripada peperangan selama 10 tahun bukan sahaja memerlukan perdamaian nasional namun usaha di peringkat antarabangsa, antara penduduk negara itu dengan komuniti global.

Pandangan itu disuarakan Wakil Tetap Libya ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Taher Al-Sonni yang mengulangi gesaan kepada pihak luar supaya menghentikan campur tangan serta menarik balik semua tentera asing dan askar upahan.

“Cukup-cukuplah. Rakyat­ Libya sudah bosan de­ngan kon­flik 10 tahun. Apabila kita berbincang mengenai perdamaian­ nasional, perlu ada perdamaian antarabangsa. Ketika berbincang mengenai bina keyakinan, sepatutnya terdapat amalan itu antara masyarakat antarabangsa dan rakyat Libya.

“Semua itu bermula dengan pengunduran semua anggota tentera asing dan askar upahan. Mereka perlu menyokong kehendak rakyat Libya melalui proses pilihan raya,” katanya dalam temu bual eksklusif de­ngan Arab News.

Menurut Taher, selagi ‘kehendak Libya untuk bebas’ masih dikawal oleh kumpulan bersenjata dan penaja asing mereka, konflik akan berleluasa di negara itu apabila peningkatan perang proksi demikian menyebabkan ketidakstabilan di seluruh wilayah.

Kata beliau, misalnya, kumpulan pemberontak yang membunuh Presiden Chad, Idriss Deby Itno pada April lalu berpusat di Libya yang mana mereka mengumpulkan wang, mempunyai akses senjata canggih dan memperoleh pengalaman di medan perang sebagai pembunuh profesional.

“Cabaran dengan askar upahan adalah tiada sesiapa yang mengakui kehadiran mereka,” kata Taher.

Perjanjian gencatan senjata Libya yang diusahakan oleh PBB pada Oktober tahun lalu terma­suk gesaan pengunduran 20,000 tentera asing dan askar upahan daripada negara itu dalam tempoh tiga bulan.

Namun, ketika Majlis Ke­selamatan PBB membincangkan cara menghantar pulang kumpulan tersebut, para pemerhati menyatakan beberapa negara mencetuskan masalah tersebut.

Sebagai contoh, sokongan Rusia terhadap Tentera Kebangsaan Libya (LNA) merangkumi askar upahan dari syarikat ke­selamatan swasta, Wagner Group manakala Turki pula menyediakan

pengangkutan bagi ribuan rakyat Syria untuk bertempur di Tripoli selain membayar mereka gaji dan berjanji menawarkan kewarganegaraan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN