BEIJING: Platform media sosial China, Weibo melarang kelab peminat Korea Selatan K-Pop, BTS daripada memuat naik sebarang kandungan dalam platform itu selama 60 hari.
Arahan itu berikutan timbul dakwaan berlaku kutipan sumbangan secara haram sehari selepas gambar-gambar kapal terbang khas dibiayai oleh kelab peminat disiarkan dalam talian.
Anggota kumpulan fenomena K-pop, BTS iaitu Jimin dilihat berada di dalam pesawat Jeju Air yang merupakan sebahagian daripada rancangan kelab peminat bagi menyambut ulang tahun kelahirannya ke-26, Oktober depan.
Tindakan itu mendapat kritikan panas daripada kelab peminat fanatik yang mempunyai lebih 1.1 juta pengikut di Weibo.
Weibo mengeluarkan kenyataan rasmi yang menggesa supaya golongan peminat bersikap rasional ketika mengejar selebriti pujaan mereka dengan mengamalkan persekitaran internet yang harmoni dan sihat.
Kelab peminat itu mula melancarkan sumbangan sejak April lalu bagi sambutan ulang tahun kelahiran tersebut dengan berjaya mengumpulkan lebih AS$150,000 (RM622,000) dalam tempoh tiga minit.
Kutipan itu melonjak kepada AS$360,000 (RM1.4 juta) dalam tempoh satu jam.
Kelab peminat itu turut merancang untuk mengiklankan sambutan hari lahir Jimin dalam akhbar The New York Times.
Sekatan itu dikenakan semasa China melaksanakan kempen membersihkan industri hiburan dan menghalang sebarang tindakan tidak rasional oleh peminat. – AP