JAKARTA: Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) meletakkan biawak Komodo di bawah senarai merah yang berkemungkinan pupus dalam masa terdekat akibat pemanasan global.
IUCN melihat haiwan yang dilindungi dan memiliki satu-satunya habitat di dunia iaitu di Pulau Komodo, Indonesia itu bakal pupus dalam masa terdekat kerana kenaikan paras air laut dapat mengecilkan habitat biawak Komodo sekurang-kurangnya 30 peratus selama 45 tahun ke depan.
Pengarah Pemuliharaan Persatuan Zoologi London, Andrew Terry juga menyifatkan haiwan prasejarah itu semakin menghampiri kepupusan akibat faktor tertentu.
“Sebahagiannya disebabkan oleh perubahan iklim serta peningkatan akses komersial ke Pulau Komodo,” katanya memetik laporan Tribunnews.com.
Bagaimanapun, Kementerian Perlindungan Hidupan dan Perhutanan Indonesia (KLHK) menyangkal dakwaan itu kerana menyifatkan populasi biawak Komodo ketika ini masih dilindungi.
Dalam satu laporan akhir tahun lalu, Ketua Pengarah Sumber Asli dan Pemuliharaan Ekosistem KLHK, Wiratno menjelaskan jumlah biawak Komodo di negara itu terutamanya di Taman Nasional (TNK) Labuan Bajo cenderung untuk meningkat.
Ini berikutan jumlah biawak Komodo pada 2018 adalah 2,897 ekor dan meningkat 3,022 pada 2019.
“Populasi biawak Komodo di Lembah Loh Buaya sejak 17 tahun lalu agak stabil dengan sedikit peningkatan dalam lima tahun terakhir,” katanya.