PASURUAN: Polis menahan dua suspek pemalsuan ijazah dan dokumen keterangan ujian antigen Covid-19 dalam operasi dekat sini, baru-baru ini.
Detik melaporkan, kedua-dua mereka mengaku melakukan kegiatan itu sejak sembilan bulan lalu.
Dua suspek tersebut adalah Hasan Hudori, 29, dari Gumeno, Gresik dan Didik Susilo, 35, dari Tapaan.
Ketua Polis Pasuruan, Arman berkata, kedua-dua suspek pada awalnya memalsukan ijazah dan kemudiannya mula ‘menambah pendapatan’ dengan melakukan pemalsuan dokumen keterangan ujian rapid antigen.
Menurutnya, mereka ditahan ketika sedang melakukan ‘tempahan’ pemalsuan dokumen di sebuah kedai kopi di Jalan Veteran, di sini.
“Kedai tersebut merupakan antara lokasi digunakan untuk mendapatkan tempahan dan penyerahan dokumen palsu manakala kerja jahat mereka dilakukan di rumah.
“Ketika rumah mereka digeledah, kita menemukan berpuluh-puluh dokumen ijazah palsu Lembaga Pendidikan yang belum diposkan kepada ‘pelanggan’ mereka,” katanya.
Jelas beliau, polis turut menemukan beberapa dokumen keterangan antigen atas nama beberapa klinik dan hospital.
“Untuk ijazah, mereka mengenakan bayaran 2 juta rupiah manakala surat antigen pula berharga 300,000 rupiah,” katanya.
Sehingga kini mereka sudah mengumpul keuntungan sebanyak 12 juta rupiah.