WASHINGTON: Sehingga hari ini, saintis di seluruh dunia tidak pernah berputus asa dan masih meneruskan pencarian jawapan mengenai bagaimana pandemik Covid-19 bermula, walaupun berdepan dengan kekangan bukti dan data asal usul wabak tersebut.
Koresponden Ketua Perubatan CNN, Dr. Sanjay Gupta berusaha menemu bual pakar virologi, epidemiologi dan penyelidik wabak menerusi laporan khas ‘Asal Usul Covid-19: Pencarian Punca’.
Sejak gelombang koronavirus memasuki tahun kedua, terdapat banyak halangan semasa penyelidikan mengenai asal usul Covid-19 dijalankan.
Beberapa petunjuk yang diperoleh akhirnya menemukan jalan buntu, sementara penemuan lain menimbulkan lebih banyak persoalan.
Hipotesis penyakit zoonotik mengemukakan idea mengenai penyebaran virus daripada haiwan kepada manusia, sama ada secara langsung melalui kelawar atau beberapa haiwan perantara lain.
Sebilangan besar saintis bersetuju dengan pandangan itu kerana 75 peratus penyakit yang muncul berpunca daripada jangkitan haiwan kepada manusia.
Wabak koronavirus sebelum ini termasuk dalam Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pertama pada 2003 yang berpunca daripada kelawar kepada musang dan merebak kepada manusia.

TEORI MAKMAL BOCOR
Namun, wujud kemungkinan virus itu sebenarnya bocor dari sebuah makmal sehingga teori tersebut hangat diperdebatkan sepanjang tahun ini.
Pada Mac lalu, bekas Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (AS), Dr. Robert Redfield yakin Covid-19 berasal dari sebuah makmal di Wuhan, China.
Beberapa hari selepas kenyataan Redfield disiarkan dalam CNN, laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai asal usul Covid-19 yang sangat dinanti-nantikan dikeluarkan 30 Mac lalu.
Sebanyak empat halaman daripada 313 muka surat membincangkan mengenai teori kebocoran makmal.
Namun, laporan itu menerima kritikan dari banyak negara yang mempersoalkan mengenai kredibiliti penemuan tersebut.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus turut mengkritik penemuan tersebut kerana dianggap sebagai ‘pramatang’.
Kerajaan China dengan tegas menafikan kebarangkalian kebocoran makmal Wuhan dan menolak sebarang kajian asal wabak oleh WHO di negara itu.
EVOLUSI BIOLOGI
Pakar Biologi Evolusi, Scripps Research Institute, Kristian Andersen mempersoalkan mengapa Covid-19 merebak dengan begitu mudah.
Beliau pernah meragui sebarang kemungkinan hubungan antara Institut Virologi Wuhan dan kajian mengenai koronavirus kelawar serta lokasi bandar pertama kes melibatkan manusia dikesan.
Persoalan masih terus membelenggu fikiran di mana wabak itu muncul, bila ia mula merebak?
Adakah masih terdapat penemuan haiwan boleh menjadi pembawa virus?
Adakah daging eksotik binatang liar yang dijual di salah sebuah pasar basah China ‘dibongkar’ dan haiwan yang membawa virus itu diimport dari tempat lain di Asia Tenggara?
Adakah seorang penyelidik yang mengkaji kelawar itu dijangkiti secara tidak sengaja dan mungkin menjadi punca virus itu disebarkan tanpa disedari?
Adakah China mengumpulkan sampel darah yang dapat menunjukkan virus pertama kali menjangkiti manusia dan berjangkit dari haiwan?
Jika benar, bagaimana pemerintah China yang kerap berahsia dapat dipujuk supaya berkongsikan data yang diperoleh?
Demikian menurut persoalan yang menjurus kepada China, yang diketahui ‘banyak menyembunyikan data mengenai asal usul Covid-19’.
Ralph Baric, seorang penyelidik koronavirus di UNC Chapel Hill yang bekerjasama dengan Institut Virologi Wuhan menunjukkan bukti khusus yang diperlukan untuk lebih memahami mengenai asal usul virus.
“Kes awal, serologi (kajian mengenai serum darah) di China dilakukan pada populasi yang tepat; tidak banyak populasi yang ada dalam laporan WHO. Tinjauan sistematik terhadap maklumat itu, analisis kes pernafasan idiopatik yang muncul di hospital, tidak hanya di Wuhan, tetapi di sekitar masyarakat, jawapannya ada di China,” katanya.
Andersen pula menyimpulkan: “Pandemik jarang berlaku, kami mahukan jawapan. Kami ingin tahu apa yang menyebabkannya, jadi kami boleh mencuba dan mencegah sesuatu yang serupa terjadi di masa depan”.