227 aktivis alam sekitar dibunuh tahun lalu - Utusan Malaysia

227 aktivis alam sekitar dibunuh tahun lalu

AKTIVITI perlombongan merupakan salah satu industri dikaitkan dengan keganasan terhadap individu berusaha melindungi tanah mereka. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Satu laporan dikeluarkan kumpulan advokasi memaklumkan sejumlah aktivis yang berusaha melindungi alam sekitar dan hak tanah dibunuh pada tahun lalu.

Lapor BBC, berdasarkan laporan Global Witness, seramai 227 orang terbunuh di seluruh dunia pada 2020 sekali gus mencatatkan jumlah tertinggi buat tahun kedua berturut-turut.

Jelas laporan itu, hampir satu pertiga kes pembunuhan itu berkaitan dengan eksploitasi sumber, pembalakan, perlombongan, perniagaan pertanian secara besar-besaran, empangan hidroelektrik dan infrastruktur lain.

Laporan itu menyatakan mangsa merupakan ‘pembela alam sekitar’ dibunuh kerana melindungi sumber semula jadi yang perlu dipelihara termasuk hutan, bekalan air dan lautan.

Sejak Perjanjian Paris mengenai perubahan iklim ditandatangani pada 2015, menurut organisasi itu, secara purata empat aktivis dibunuh setiap minggu.

Dilaporkan, angka mengejutkan itu mungkin dianggap remeh disebabkan semakin banyak la­rangan dikenakan terhadap wartawan dan aktivis sivik lain.

Menurut laporan itu, aktiviti pembalakan meru­pakan antara industri dikaitkan dengan insiden pembunuhan paling banyak iaitu 23 kes yang membabitkan serangan di Brazil, Ni­caragua, Peru dan Filipina.

Masyarakat Orang Asli yang lantang memperjuangkan perubahan iklim dilaporkan menyumbang satu pertiga kes ber­kenaan.

Colombia pula mencatatkan serangan tertinggi iaitu 65 orang dibunuh pada tahun lalu.

Sementara itu, seorang juru kempen Global Witness, Chris Madden menggesa kerajaan bertindak serius dalam melin­dungi aktivis alam sekitar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN