JAKARTA: Kerajaan Indonesia akan memfokuskan pengedaran vaksin hasil sumbangan dari negara lain serta yang dibeli sebanyak 2.5 juta dos ke beberapa daerah tertentu yang mencatatkan kadar penularan Covid-19 yang tinggi.
Jurucakap Kementerian Kesihatan, Siti Nadia Tarmizi berkata, daerah yang menjadi keutamaan itu adalah Jawa dan Bali, lapor Kompas.com.
Namun, penasihat kanan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Diah Saminarshih melahirkan kebimbangan sekiranya pengedaran vaksin berdasarkan pertimbangan wilayah tertentu akan menyebabkan ketempangan vaksinasi antara daerah.
Jelasnya, pengedaran vaksin mengikut wilayah tidak sesuai dengan saranan WHO yang mendorong setiap negara menentukan sasaran vaksinasi berdasarkan kelompok populasi.
Jakarta dan Bali merupakan wilayah dengan peratus vaksinasi kedua tertinggi di Indonesia masing-masing merekodkan 57.4 dan 44.8 peratus sehingga Khamis lalu.
Peratusan itu jauh berbeza dengan kebanyakan wilayah lain yang masih dalam angka belasan.
Capaian vaksinasi di 10 wilayah bahkan masih berada di bawah kadar 10 peratus.
Sebanyak 450,000 dos vaksin AstraZeneca tiba di Bandara Soekarno-Hatta Khamis lalu, hasil sumbangan Belanda.
Indonesia masih mempunyai 1.5 juta dos vaksin Pfizer dan 567,000 vaksin AstraZeneca hasil pembelian yang dilakukan oleh kerajaan Indonesia.