SINGAPURA: Tiga warga Singapura yang memberi rasuah kepada seorang pegawai Kedutaan Indonesia, tiga tahun lalu dijatuhi hukuman penjara hari ini, menurut Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) dalam satu kenyataan.
Kes tersebut melibatkan bon prestasi S$6,000, diwajibkan oleh Kedutaan Indonesia di Singapura pada 2018 ke atas semua majikan yang mengambil pembantu rumah dari Indonesia.
Agus Ramdhany Machjumi, kakitangan buruh di kedutaan tersebut pada ketika itu, bertanggungjawab dalam mengeluarkan pentauliahan kepada syarikat insurans bagi bon berkenaan.
Berita Mediacorp melaporkan, Agus memberitahu Abdul Aziz Mohamed Hanib, 66, untuk mencari syarikat atau ejen insurans yang boleh memberi mereka sebahagian bayaran daripada premium yang diperoleh sebagai pertukaran bagi pentauliahan.
Abdul Aziz, seorang penterjemah bebas, kemudian menarik James Yeo Siew Liang, 50, yang bertugas sebagai ejen insurans bagi AIG Asia Pacific Insurance dan Liberty Insurance.
Melalui Abdul Aziz, James Yeo memberi wang suapan berjumlah S$71,211 kepada Agus antara Mac hingga Jun 2018 sebagai ganjaran bagi memberi pentauliahan kepada AIG serta Liberty untuk menjual bon-bon prestasi itu.
James Yeo juga memberi Abdul Aziz sekitar S$21,363.30 kerana mengaturkan urusannya bersama Agus.
Abdul Aziz juga didapati cuba mendapatkan seorang lagi individu menyertai skim itu supaya Agus boleh mentauliahkan Tokio Marine Insurance Singapore. Namun, individu berkenaan menolak tawaran tersebut.
Mahkamah menjatuhi hukuman 17 bulan penjara dan denda S$18,299.82 kepada Abdul Aziz manakala James Yeo dijatuhi hukuman 15 bulan penjara dan didenda S$21,363.30.
Lelaki ketiga, Benjamin Chow Tuck Keong, 58, yang memperkenalkan Abdul Aziz kepada James Yeo, dikenakan hukuman penjara sebulan dan didenda S$4,574.96.
Ketiga-tiga lelaki itu, yang didapati bersalah pada April lalu, didakwa di bawah Akta Pencegahan Rasuah.
CPIB menyatakan: “Pihak berkuasa Indonesia sudahpun berhubungan dengan CPIB tentang kes ini.
“Singapura mengamalkan pendekatan sifar tolak ansur yang tegas terhadap rasuah. Sesiapa yang didapati bersalah berkaitan rasuah boleh didenda sehingga S$100,000 atau dihukum penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali”.