KABUL: Taliban akan membenarkan golongan wanita bekerja dan menyambung pelajaran sehingga peringkat universiti sebagai sebahagian daripada janji pembaharuan yang akan dilaksanakan terhadap rakyat di Afghanistan.
Jurucakap Taliban, Suhail Shaheen berkata, golongan wanita juga wajib memakai tudung bagi tujuan keselamatan.
Jelasnya, arahan pemakaian itu bukannya undang-undang Taliban tetapi adalah undang-undang Islam.
“Polisi kami jelas, golongan wanita boleh bekerja dan belajar. Mereka juga boleh memegang jawatan yang selari dengan undang-undang Islam, jadi sudah tentu akan ada garis panduan buat mereka. Golongan wanita akan bergiat aktif dalam masyarakat,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Suhail turut menafikan dakwaan Taliban berniat membunuh semua pegawai kerajaan di bawah pemerintahan bekas Presiden, Ashraf Ghani dan menjanjikan nyawa mereka adalah selamat. -BBC










