PHNOM PENH: Penduduk di Phnom Penh, Kemboja gempar apabila seekor singa dilihat berkeliaran di sekitar kawasan perumahan mereka.
Lapor portal UPI, insiden itu mencetuskan panik dalam kalangan orang ramai.
Pemilik haiwan itu, Zhai Xinjiang mendakwa singa yang dibelanya telah dilepaskan secara sengaja oleh bekas pekerja yang berasa tidak puas hati terhadapnya.
Singa yang dinamakan Hei Man muncul dalam tajuk utama akhbar tempatan selepas haiwan itu dirampas oleh pihak berkuasa Kemboja kerana didakwa dibela secara haram dan kemudian dipulangkan semula kepada Zhai pada awal bulan lalu.
Dilaporkan, singa itu berkeliaran di jalan di Phnom Penh pada Isnin lalu.
Beberapa penduduk sempat merakam gambar dan video haiwan itu berkeliaran sebelum ditangkap dan dibawa semula ke rumah pemiliknya.
Zhai yang merupakan ahli perniagaan warga China yang menetap di Kemboja berkata, Hei Man dilepaskan oleh seorang bekas pekerjanya yang telah dipecat selepas didapati melakukan aktiviti penipuan.
“Jadi, dia secara sengaja melepaskan Hei Man kerana mahu membalas dendam,” katanya.
Setakat ini, belum dapat dipastikan sama ada Zhai akan dikenakan tindakan undang-undang akibat insiden itu. – AGENSI










