Sifar kes Covid-19 tidak masuk akal - Morrison - Utusan Malaysia

Sifar kes Covid-19 tidak masuk akal – Morrison

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Perdana Menteri Australia, Scott Morrison menempelak kenyataan Mark McGowan yang menegaskan akan terus cuba untuk menghapuskan Covid-19 meskipun 80 peratus penduduk negara itu sudah menerima suntikan vaksin.

Lapor Daily Mail, Morrison menyifatkan usaha memerangi varian Delta yang lebih mudah berjangkit di Australia ketika ia menjejaskan hampir seluruh dunia adalah tidak realistik.       

“Idea kononnya ia mampu dihapuskan sehingga boleh mencapai sifar kes Covid-19 adalah perkara tidak masuk akal,” katanya dalam satu temubual radio 2GB.

Australia ketika ini melaksanakan strategi ketat yang bertujuan menangani wabak Covid-19 dalam kalangan masyarakat dengan menggunakan perintah berkurung dan penutupan sempadan negara.

Bulan lalu, pemimpin negara bersetuju dengan rancangan nasional untuk kembali kepada kehidupan normal selepas kadar vaksinasi penduduk mencecah 70 peratus dan lebih banyak pelonggaran peraturan pada 80 peratus.    

Bagaimanapun, McGowan yang merupakan Ketua Menteri Australia Barat berjanji untuk terus melaksanakan perintah berkurung sehingga wabak itu dapat dihapuskan.

“Pilihan kami adalah sifar kes Covid-19 dan itu yang akan kami cuba lakukan. Kami tidak mahu kes kematian dan penularan virus itu lagi,” katanya.

Morrison menerusi beberapa wawancara televisyen menegaskan pelan McGowan tidak mengikuti strategi pembukaan semua negara yang disifatkannya sebagai ‘komitmen’ kepada warga Australia.

Menurutnya, tindakan McGowan bertentangan dengan kepentingan negara sekiranya beliau terus melaksanakan perintah berkurung.

Beliau juga menuduh pemimpin itu melemahkan pelaksanaan vaksinasi Covid-19 di negara ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN