LONDON: Selepas beberapa minggu ditutup, bank-bank di Afghanistan kembali dibuka sehingga menyebabkan kesesakan apabila ratusan orang berpusu-pusu beratur kerana ingin mengeluarkan wang tunai.
Institusi kewangan di Kabul ditutup sejak 15 Ogos lalu, sebelum bekas Presiden Ashraf Ghani melarikan diri dan Taliban menakluk ibu negara.
Penutupuan bank itu juga dilakukan kerana dikhuatiri berlaku pertumpahan darah dan rampasan semasa Taliban mengambil alih Kabul.
Bank-bank tetap ditutup selepas keputusan Washington menghentikan akses simpanan emas dan wang tunai di Afghan Central Bank bernilai AS$7 bilion (RM30 bilion) di Rizab Persekutuan.
Dana Kewangan Antarabangsa turut memotong akses dana AS$460 juta (RM1.8 bilion) yang diperuntukkan minggu ini.
Pembatalan itu dibuat hanya beberapa hari selepas puluhan ribu penduduk berpusu-pusu ke bank dan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di seluruh ibu negara untuk mengeluarkan sebanyak mungkin wang mereka sebelum ketibaan Taliban.
Dalam kehidupan masyarakat berasaskan wang tunai seperti di Afghanistan, ketiadaan wang kertas walaupun dalam beberapa hari menyebabkan orang ramai berada dalam ketakutan bukan setakat untuk hari esok sahaja, tetapi sehingga minggu dan bulan depan.
Seorang penduduk, Massoud, 35, berkata, dia bimbang bagaimana untuk menyara keluarganya di wilayah Kunduz kerana hanya mempunyai AS$232 (RM975) dalam bank.
Walaupun bank kembali dibuka, namun katanya, peluang untuk mengeluarkan duit boleh memakan masa selama beberapa hari.
Sehingga pukul 10 pagi semalam, dia sudah menunggu selama empat jam, namun, belum dapat masuk ke dalam bank lagi.-AGENSI