Rakyat Australia lebih bimbang hilang kerja dari dijangkiti Covid-19 - Utusan Malaysia

Rakyat Australia lebih bimbang hilang kerja dari dijangkiti Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CANBERRA: Satu kajian terkini mendapati rakyat Australia lebih bimbang kehilangan pekerjaan dan mengalami masalah kesihatan mental berbanding dijangkiti wabak Covid-19.

Lapor Daily Mail, tinjauan turut menunjukkan bilangan individu yang kecewa meningkat akibat tempoh berkurung terlalu lama dan penutupan sekolah.

Tinjauan dilakukan oleh syarikat penyelidikan, YouGov yang menemubual seramai 3,114 rakyat Australia berumur lebih 18 tahun, antara 20 hingga 25 Ogos lalu.

Dua daripada tiga penduduk negara itu percaya vaksinasi adalah kunci utama untuk kembali kepada kehidupan normal, sementara, 50 peratus lagi mahu perintah berkurung ditamatkan sekiranya populasi yang menerima vaksin mencecah 80 peratus.

Bagaimanapun, satu pertiga individu mahu perintah berkurung ditamatkan sekarang dengan hanya 22 peratus menyokong pelaksanaan perintah itu sehingga semua penduduk menerima vaksin.

Sekitar 16 peratus mahu perintah berkurung dikekalkan sehingga kes menjadi sifar sebelum ditamatkan.

Tinjauan turut menyaksikan penurunan drastik tahap kesihatan mental dan kedudukan kewangan rakyat Australia terutamanya di New South Wales dan Victoria.

Kesihatan mental melibatkan banyak golongan muda di Australia berumur antara 18 hingga 35 tahun.

Kajian merumuskan rakyat Australia lebih takut berdepan masalah kesihatan mental dan impak kewangan akibat perintah berkurung berbanding penularan wabak Covid-19.

Sebanyak 58 peratus responden bimbang dengan penutupan perniagaan dan kerja, 56 peratus berhubung kesihatan mental serta disusuli dengan 51 peratus mengenai kes Covid-19 dan kematian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN