SYDNEY: Ribuan pengunjung dihalau dari kawasan pantai di bandar ini oleh pasukan polis yang menggunakan helikopter.
Langkah itu bagi memastikan pelaksanaan ‘sifar Covid-19’ berjalan lancar selepas Australia bergelut dengan lonjakan kes jangkitan sejak beberapa bulan lalu.
Ketika ini, perintah berkurung yang dilaksanakan di Sydney menyaksikan seramai lima juta penduduknya perlu kekal berada di rumah susulan kes jangkitan mencecah 3,000 sejak pertengahan Jun lalu.
Namun, sikap degil yang ditunjukkan oleh penduduk menyaksikan kawasan jalan di Sydney Coogee dan pantai Bondi sesak dengan kehadiran ribuan pengunjung.
Ketua Menteri New South Wales, Gladys Berejiklian sebelum ini memberi peringatan kepada semua penduduk iaitu mereka hanya dibenarkan keluar rumah bagi urusan penting seperti membeli belah, bersenam, kerja penting atau mendapatkan suntikan vaksin.
Kesesakan di kawasan pantai itu menyebabkan pihak polis terpaksa menggunakan sokongan pasukan udara bagi menyuraikan kehadiran orang ramai.
Menurut jurucakap polis, pihaknya turut memberi nasihat serta teguran kepada 1,000 pengunjung bagi memastikan mereka mematuhi sekatan Covid-19 yang dilaksanakan.
Pasukan polis turut memeriksa daftar masuk kod imbas QR para pengunjung, termasuk di premis besar di sekitar bandar itu.










