PARIS: Perancis menamatkan operasi pemindahan penduduk keluar dari Afghanistan semalam, iaitu sehari selepas insiden pengebom bunuh diri di luar lapangan terbang Kabul.
Menteri Luar, Jean-Yves Le Drian dan Menteri Pertahanan, Florence Parly berkata, proses pemindahan terpaksa dihentikan berikutan ‘keadaan tidak selamat’ di lapangan terbang terbabit.
Dalam satu kenyataan, kedua-dua menteri itu menyalahkan situasi yang tidak selamat di Afghanistan ketika ini berlaku akibat pengunduran tentera AS dari negara itu.
Kenyataan itu juga memaklumkan, kumpulan petugas Kedutaan Perancis di Kabul sudah selamat tiba di Abu Dhabi dan seterusnya akan diterbangkan ke tanah air.
Perancis sekali gus menggesa operasi kemanusiaan dwujudkan bagi membantu ribuan penduduk Afghanistan yang tidak dapat menaiki pesawat untuk meninggalkan negara itu.
Tentera Perancis dilaporkan berjaya membawa keluar kira-kira 3,000 orang dari Afghanistan sebelum operasi itu dihentikan. – AFP