JAWA BARAT: Seorang pengunjung maut manakala 11 individu lain mengalami kecederaan selepas siling pusat beli belah Margo City di Depok runtuh.
Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang itu, siling bangunan itu runtuh dari ketinggian 20 meter, lapor Suara.com.
Sebelum runtuhan itu berlaku, bunyi ledakan sangat kuat dapat didengari dari dalam bangunan itu.
Pengurus pusat beli belah itu, Reza Ardianda berkata, insiden itu bukan disebabkan serangan pengganas seperti tular dalam media sosial.
Katanya, pihaknya belum dapat memastikan jumlah kerugian akibat runtuhan itu.