WELLINGTON: Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern mengarahkan pelaksanaan perintah berkurung mengejut di seluruh negara berkuat kuasa esok.
Arahan perintah berkurung itu dikeluarkan selepas kes jangkitan Covid-19 pertama yang berpunca daripada penularan tempatan dikesan di Auckland dalam tempoh enam bulan.
Seluruh New Zealand akan menjalani perintah berkurung selama tiga hari bermula esok.
Namun, Auckland dan Coromandel, sebuah pekan yang mana individu dijangkiti virus berkenaan berada di kawasan tersebut, akan menguatkuasa perintah berkurung selama tujuh hari.
Perintah berkurung tahap keempat itu melibatkan penutupan semua sekolah, pejabat dan premis perniagaan.
Hanya sektor perkhidmatan penting yang akan dibenarkan beroperasi.
“Perkara terbaik yang boleh kita lakukan adalah dengan membendung penularan virus ini secepat mungkin.
“Kami membuat keputusan ini dengan mengambil kira segala kemungkinan.
“Malah, kami pernah melihat apa yang boleh berlaku sekiranya gagal menanganinya. Kita hanya mempunyai satu peluang,” kata Ardern.
Jelas beliau, pihak berkuasa menjangkakan kes Covid-19 baharu itu merupakan jangkitan varian Delta walaupun ia masih belum disahkan.
Katanya, kemungkinan terdapat kes jangkitan Covid-19 yang lain.
Kes Covid-19 terakhir yang direkodkan di New Zealand adalah pada Februari lalu. – AGENSI










