MEXICO CITY: Sekurang-kurangnya lima orang maut, enam cedera dan dua orang masih hilang dalam insiden kebakaran di sebuah pelantar minyak di luar pesisir di Mexico.
Pelantar minyak itu dikendalikan oleh syarikat minyak dan gas Mexico, Pemex.
Menurut Pemex, kebakaran itu menyebabkan kerja-kerja tertangguh di lebih 100 telaga minyak yang bergantung kepada platform bagi bekalan elektrik dan gas asli.
Kemalangan itu berlaku pada Ahad lalu di Teluk Campeche di selatan Teluk Mexico semasa kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan.
Ketua Pemex, Octavio Romero berkata, salah seorang mangsa yang cedera dalam kebakaran itu kini berada dalam keadaan kritikal.
“Operasi mencari mangsa hilang masih diteruskan,” katanya dalam sidang akhbar.
Menurut Romero, kebakaran itu menyebabkan kerja-kerja di 125 telaga minyak terpaksa diberhentikan sementara, mengakibatkan kerugian pengeluaran 425,000 tong sehari. – AFP