SINGAPURA: Lapan lelaki diberkas kerana didakwa memasuki Singapura secara haram selepas cuba berenang ke darat.
Berita Mediacorp melaporkan, Sekitar pukul 2.30 pagi, semalam, sistem pengawasan Polis Pengawal Pantai (PCG) mengesan lapan individu turun daripada sebuah bot tanpa plat berdaftar di perairan berdekatan sebuah jeti di Tuas.
Lelaki-lelaki itu kemudian berenang ke pinggir laut Singapura, menurut polis dalam satu kenyataan.
“Menyusuli pengesanan itu, para pegawai dari PCG, dengan sokongan Divisyen Polis Jurong dan Kontinjen Gurhka serta Markas Operasi khas dikerahkan dengan serta-merta,” tambah polis.
Semua lapan lelaki itu, yang berusia antara 21 dengan 55 tahun, ditahan. Bot tersebut juga dirampas.
Suspek akan didakwa kerana memasuki Singapura secara tidak sah.
Kesalahan itu membawa hukuman penjara sehingga enam bulan dan sekurang-kurangnya tiga sebatan rotan.










