TOKYO: Parti pemerintah Jepun menetapkan 29 September depan sebagai tarikh permulaan kempen menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Oktober depan.
Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga dijangka hilang sokongan yang banyak daripada rakyat selepas menghadapi kritikan keras berhubung kaedah menangani wabak Covid-19.
Hasil tinjauan oleh agensi berita Kyodo awal bulan ini melaporkan penilaian terhadap keputusan yang diluluskan oleh Kabinetnya mencapai tahap terendah sebanyak 31.8 peratus.
Suruhanjaya pemilihan Parti Liberal Demokrat (LDP) meluluskan tarikh itu pagi tadi, dengan mesyuarat agung dijangka menyatakan persetujuan terhadap keputusan itu.
Suga akan menghadapi saingan daripada tiga pencabar utama termasuk bekas Menteri Luar Negeri, Fumio Kishida, Ketua Polisi LDP, Hakubun Shimomura dan anggota parti Hawkish, Sanae Takaichi.
Suga bagaimanapun mendapat sokongan kuat daripada setiausaha agung partinya dan setakat ini masih menjadi calon pilihan untuk memimpin partinya semasa PRU nanti.
Walaupun pemerintahan Suga dikatakan lemah, parti LDP dijangka masih menguasai undi majoriti di Parlimen berbanding parti pembangkang yang dilihat berpecah belah sekali gus tidak dapat memberikan tentangan besar.
Suga dilantik sebagai perdana menteri selepas Shinzo Abe mengundurkan diri tahun lalu.-AFP










