MELBOURNE: Seorang jururawat tergamak mencuri AS$142,000 (RM598,000) daripada bekas teman lelakinya dan menggunakan duit itu untuk menampung perbelanjaan perkahwinan dengan kekasih baharunya.
Lapor Daily Mail, tertuduh, Marie Heeraman, 52, dijatuhkan hukuman dua tahun khidmat sosial dengan melengkapkan 350 jam khidmat sosial tersebut selepas mengaku bersalah di Mahkamah County.
Bekas teman lelakinya, Michael Peirce mewarisi harta itu daripada mendiang ibunya.
Peirce pernah meminta bantuan wanita itu untuk mengurus perbelanjaannya dan mengelakkan ahli keluarga lain mengakses wang itu dengan membuka akaun atas nama Heeraman dan mendepositkan AS$198,000 (RM835,000).
Heeraman membantu lelaki itu dengan memberikan wang perbelanjaan yang sangat terhad apabila diperlukan.
Dia kemudian memindahkan sejumlah besar wang itu ke dalam akaun bank berbeza atas namanya tanpa pengetahuan Pierce.
Wanita itu kemudian menggunakan wang tersebut untuk membeli pakaian pengantin, minuman alkohol, barangan dapur, barangan kosmetik dan kecantikan sebanyak 808 transaksi antara 2014 hingga 2016.
Dia turut menggunakan AS$27,000 (RM114,000) untuk membeli kereta jenama Peugeot dengan wang itu.
Hubungan mereka berdua akhirnya terputus selepas Heeraman berkahwin dengan orang lain pada 2016.