KABUL: Pemimpin gerakan anti Taliban Afghanistan, Ahmad Massoud menyatakan pihaknya berharap mereka boleh mengadakan rundingan damai dengan Taliban bagi membincangkan mengenai masa depan negara ini.
Katanya, mereka mahu Taliban menyedari bahawa rundingan damai menjadi satu-satunya perkara yang boleh dibuat untuk mengelakkan pertumpahan darah sekali lagi.
“Kami tidak mahu peperangan sekali lagi tercetus dan kami berharap dapat berunding secara aman bersama Taliban.
“Namun, kami juga bersedia untuk berjuang habis-habisan sekiranya keadaan memerlukan,” katanya ketika dihubungi Reuters di lembah Panjshir.
Jelas Ahmad Massoud, para penyokongnya bersedia untuk memberikan tentangan yang hebat kepada Taliban sekiranya mereka cuba menguasai lembah tersebut.
“Kami akan mempertahankan Panjshir sehingga titisan darah terakhir kerana kami di sini sama sekali menolak pentadbiran Taliban,” ujarnya.
Selain itu, beliau juga memberitahu, kumpulan pejuangnya yang didakwa kini melebihi 6,000 anggota memerlukan sokongan komuniti antarabangsa jika mahu menentang Taliban.
Ahmad Massoud menjelaskan, jumlah anggota kumpulan pejuang itu akan bertambah dari semasa ke semasa apabila penduduk di wilayah lain kini memasuki Panjshir untuk mendapatkan perlindungan.
Katanya, kesemua penduduk itu bersedia menyokong gerakan anti Taliban dan berjuang untuk demokrasi negara ini. – REUTERS










