NEW DELHI: India memasang menara jerebu bernilai 3 juta rupee (RM170,714) bagi mencegah pencemaran di kawasan ibu negara yang dilabelkan sebagai tercemar di dunia.
Ketua Menteri, Arvind Kejriwal berkata, menara setinggi 25 meter tersebut berupaya meningkatkan kualiti udara dalam radius satu kilometer dengan membersihkan ‘1,000 m3 udara per saat’.
“Menara seperti ini belum pernah ada di negara ini dan teknik yang digunakan belum pernah dilakukan oleh mana-mana pihak untuk membersihkan udara.
“Kami mengimport teknik ini dari Amerika Syarikat untuk dipasang dan dalam proses kajian,” katanya selepas merasmikan pembinaan itu di Rajiv Chowk.
Menara itu dibina dengan simen dan besi keluli dilengkapi 5,000 penapis yang berfungsi dalam format kitaran bagi menangkap udara tercemar dan melepaskan udara yang bersih.
Bagi mengukur keberkesanannya, Kejriwal berkata, data yang diambil dari menara itu akan dianalisis oleh Institut Teknologi India di Delhi dan Mumbai.
New Delhi yang mempunyai populasi 30 juta kekal menghuni di carta paling teratas dalam senarai 50 bandar paling tercemar di dunia selama tiga tahun berturut-turut.
Dapatan itu berdasarkan laporan IQAir iaitu kumpulan dari Switzerland yang mengukur tahap kualiti udara berdasarkan kepekatan zarah bawaan udara yang merosakkan paru-paru dikenali sebagai PM2.5.
Data itu menyenaraikan 106 negara dalam indeks kualiti udara dunia.- AGENSI