COLOMBO: Golongan doktor di Sri Lanka memberi amaran kepada pihak kerajaan supaya melaksanakan perintah berkurung segera selepas pihak berkuasa menolak cadangan tersebut.
Kebimbangan itu timbul susulan lonjakan kes sehingga menyebabkan hospital mengalami kesesakan dengan lambakan pesakit.
Ditambah pula dengan kegusaran mengenai jangkitan varian Delta, kes Covid-19 dan kematian meningkat dua kali ganda sejak bulan lalu.
Purata kes harian adalah 3,000 kes dengan angka kematian melebihi 100 kes.
Sri Lanka mengetatkan beberapa sekatan minggu lalu dengan menghalang sebarang penganjuran acara di setiap negeri, himpunan orang ramai dan perjalanan merentas wilayah.
Keadaan lebih bertambah dukacita apabila terdapat laporan mengenai pesakit wabak yang maut semasa menunggu kemasukan ke hospital yang sudah terlampau sesak.
Persatuan Pakar Perubatan pula memberi amaran bekalan oksigen di hospital sudah kehabisan.
Jurucakap Kabinet, Jayantha Pathirana berkata, tiada keperluan untuk melaksanakan perintah berkurung sepenuhnya dan pihak kerajaan akan mengambil keputusan yang bersesuaian berdasarkan pandangan jawatankuasa kesihatan. -AGENSI










