China tekankan strategi 'sifar Covid-19' adalah tepat - Utusan Malaysia

China tekankan strategi ‘sifar Covid-19’ adalah tepat

ZHANG WENHONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Ketika kes jangkitan Covid-19 di China semakin meningkat akibat penularan varian Delta, pakar penyakit berjangkit, Zhang Wenhong memberitahu semua penduduk negara ini bahawa mereka perlu bersedia ‘hidup’ dengan koronavirus bagi tempoh yang lama.

Namun, kenyataan beliau tidak disenangi banyak pihak dan Wenhong menerima kecaman teruk.

Kebanyakan penduduk seolah-olah tidak mahu menerima kenyataan beliau dan menuduhnya terpengaruh dengan propaganda Barat, terutamanya Amerika Syarikat (AS).

Disebabkan kenyataan itu juga, Wenhong dilabel sebagai ‘pengkhianat negara’ yang berpegang kepada idea Barat, selain didakwa bersekongkol dengan negara luar untuk mensabotaj situasi Covid-19 di negara ini.

Isu tersebut turut mendapat perhatian sejumlah ahli politik China termasuk bekas menteri kesihatan, Gao Qiang yang menyifatkan Wenhong ‘bekerjasama dengan koronavirus’.

Katanya, beliau terkejut kerana ada golongan pakar ni negara ini turut terpedaya dengan idea Covid-19 yang dilontarkan oleh Barat.

Penolakan itu secara tidak langsung menunjukkan China amat komited untuk menjadikan negara ini ‘sifar Covid-19’.

Terdahulu, seorang guru ditahan pihak berkuasa selama 15 hari selepas dia memberi komen dalam artikel berita, menyatakan negara ini perlu ‘terima dan bekerjasama dengan Covid-19’.

Dalam pada itu, Wenhong yang berdiam diri selama tiga minggu sejak beliau dikritik berhubung kenyataan itu, memuat naik status Weibo memaklumkan dirinya dalam keadaan baik.

“Saya dalam keadaan baik dan saya akan terus berjuang untuk menjadikan kita memahami Covid-19 dengan baik, sekali gus dapat mencegahnya dengan berkesan.

“Namun, bukan semua pendekatan itu boleh berjaya, kita perlu lihat apa yang perlu untuk menjayakannya, dengan melihat realiti,” ujarnya.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN