BEIJING: Pihak berkuasa China menyasarkan golongan pelajar sebagai sebahagian kempen vaksinasi terbaharu negara itu.
Langkah itu ketika China berdepan lonjakan kes Covid-19 tertinggi dalam tempoh beberapa bulan.
Lapor BBC, China melaporkan sebanyak 71 kes penularan tempatan pada hari ini yang merupakan angka harian tertinggi sejak Januari lalu.
Kempen vaksinasi Covid-19 bagi kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 17 tahun kini diperluaskan dalam usaha memerangi penularan varian Delta.
Kes terbaharu dilaporkan merebak di sekurang-kurangnya 16 wilayah dan pekan.
Tidak dapat dipastikan jumlah penduduk yang sudah menerima vaksin Covid-19 lengkap walaupun pihak berkuasa mendakwa lebih 1.6 bilion dos telah diberikan setakat ini.
Kementerian Pendidikan China meminta pihak berkuasa tempatan untuk melaksanakan sebuah program yang menyasarkan vaksinasi pelajar sekolah.
Beberapa wilayah dilaporkan sudah memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada pelajar sekolah.
Namun, tekanan dialami adalah untuk mencapai sasaran 80 hingga 85 peratus daripada keseluruhan penduduk divaksin menjelang akhir tahun ini. – AGENSI










