AS paranoid serangan pengganas - Utusan Malaysia

AS paranoid serangan pengganas

- TENTERA AS terlibat dalam proses pemindahan rakyat Afghanistan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) sebenarnya takut dengan bayang-bayang sendiri sehingga paranoid kononnya serangan pengganas akan meningkat di negara itu selepas Taliban mengambil alih Afghanistan.

Pakar turut meramalkan isu pengunduran tentera AS dari Afghanistan selepas 20 tahun menjalankan misi ketenteraan akan menghancurkan karier Joe Biden sebagai Presiden AS.

Biden dikritik hebat oleh kedua-dua perwakilan Demokrat dan Republikan berhubung kaedah beliau menangani krisis selepas berjanji meninggalkan Afghanistan dalam keadaan selamat dan tertib.

Pakar Politik AS dari University College London, Thomas Gift berkata, kaedah krisis itu ditangani sangat merosakkan reputasi Washington.

Katanya, situasi itu sangat memalukan pentadbiran negara dan menghancurkan kredibiliti White House mengenai dasar luar terutamanya ketika Biden melaungkan manifesto Amerika sudah kembali semasa Pilihan Raya Presiden AS lalu.

“Cara Biden menangani krisis di Asia Barat itu dianggap sebagai ‘malapetaka’ sehingga mendorong perwakilan Republikan memohon Pindaan ke-25 Perlembagaan AS,” katanya.

TENTANGAN TERHADAP BIDEN

Sementara itu, Pakar Politik AS, Rob Singh berkata, rancangan untuk mendakwa Biden tidak begitu ‘memikat’ tetapi mungkin tidak menghalang perwakilan Republikan untuk terus mencuba.

Katanya, masa depan Biden dijangka menjadi lebih sukar jika Republikan kembali menguasai Dewan Perwakilan pada pilihan raya pertengahan tahun depan.

“Saya tidak menolak kemungkinan perwakilan Republikan akan cuba melakukan sesuatu terhadap Biden walaupun mereka tahu tidak akan mempunyai majoriti dua pertiga untuk menyingkirkan Biden.

“Suasana di Washington jelas sangat beracun dan mereka dilihat bersedia melakukannya secara terus terang,” ulasnya.

Singh turut melahirkan kekhuatiran kononnya ketidakstabilan di Afghanistan akan mewujudkan pusat keganasan ISIS dan Al-Qaeda.

Mengulas sama ada Afghanistan berupaya menyusup masuk ke dalam politik domestik AS, katanya, perkara itu boleh terjadi sekiranya berlaku serangan pengganas lagi.

“Serangan pengganas besar di AS sudah mengubah strategi mereka sepenuhnya,” jelasnya.

 NATO BAGI PERINGATAN

Setiausaha Jeneral Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg menegaskan Taliban mesti memastikan Afghanistan tidak berpotensi menjadi sarang pengganas.

Ketakutan terus meningkat selepas laporan mengenai pengganas ISIS yang didakwa akan melancarkan perang terhadap Taliban bagi mencari ketua baharu.

Gabungan Negara Islam-Khorasan (ISKP) dibentuk pada 2015 dan kebanyakannya tertumpu di wilayah timur Nangarhar berhampiran sempadan Pakistan.

Pertempuran antara kumpulan pengganas meletus pada 2015 hingga 2017 ketika kumpulan ISKP menangkap pengedar dadah yang menjual candu bagi mengumpulkan dana untuk Taliban di Jowzjan.

Puluhan anggota kumpulan turut terbunuh dalam pertempuran antara kedua-dua pihak di sepanjang kawasan sempadan Iran pada tahun sama.

Rentetan itu, pegawai di Washington bimbang mengenai kemunculan semula kumpulan pengganas atas faktor pengunduran tentera AS dan penguasaan Taliban di Afghanistan. -AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya