KIEV: Seorang aktivis Belarus yang dilaporkan hilang sejak semalam, ditemukan maut berhampiran rumahnya di Ukraine.
Lapor BBC, mayat Vitaly Shishov ditemukan dalam keadaan tergantung di sebuah taman di Kyiv.
Shishov yang merupakan ketua Belarusian House di Ukraine dilaporkan hilang sejak keluar berjoging pada pagi semalam.
Menurut polis, pihaknya melancarkan siasatan berhubung kematian aktivis tersebut.
“Kami sedang menyiasat sama ada Shishov telah dibunuh dan kematiannya dibuat kelihatan seperti bunuh diri,” katanya.
Sebelum ini, beberapa rakan Shishov mendakwa aktivis itu `dipantau’ oleh individu tidak dikenali ketika berjoging baru-baru ini.
Shishov mengetuai Belarusian House yang membantu warganegaranya meninggalkan negara itu akibat penindasan.
Ukraine, Poland dan Lithuania menjadi negara pilihan bagi penduduk yang melarikan diri akibat penindasan berikutan insiden pilihan raya presiden di Belarus pada Ogos 2020. – AGENSI