NAYPYIDAW: Pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi bersama kakitangan peribadinya dilaporkan sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 yang lengkap sejak berada dalam tahanan tentera.
Perkara itu disahkan oleh peguam pemimpin awam itu, Min Min Soe ketika Myanmar berusaha menangani lonjakan kes jangkitan Covid-19 di negara itu.
Suu Kyi tidak kelihatan di tempat umum sejak ditahan oleh junta tentera pada Februari lalu, namun dengan beberapa penampilan ketika pengadilan di mahkamah khas di Naypyidaw merupakan satu-satunya cara beliau berhubung dengan dunia luar.
“Semua individu di rumah Amay termasuk Amay (Suu Kyi) sendiri sudah menerima vaksin Covid-19,” katanya selepas sesi perbicaraan itu.
Min Soe bagaimanapun tidak memberikan maklumat lanjut mengenai bila Suu Kyi divaksin dan jenis vaksin yang diterima.
Kira-kira 10 orang dipercayai tinggal bersama pemimpin berusia 76 tahun itu di rumah tersebut termasuk penjaga dan tukang masak.
Tambah peguam itu, Suu Kyi berasa amat bimbang dengan pandemik Covid-19 di Myanmar.
“Suu Kyi menasihatkan penduduk untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 jika boleh. Beliau juga meminta orang ramai menjaga diri dan mematuhi peraturan Covid-19,” katanya. – AFP