Suu Kyi berdepan tuduhan baharu di mahkamah Mandalay - Utusan Malaysia

Suu Kyi berdepan tuduhan baharu di mahkamah Mandalay

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANGON: Pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi berdepan dengan empat lagi tuduhan jenayah baharu yang difailkan di sebuah mahkamah di Mandalay.

Menurut peguamnya, Min Min Soe, pihaknya hanya mempunyai sedikit maklumat mengenai tuduhan baharu dikenakan terhadap pemimpin tersebut.

Katanya, tuduhan baharu itu melibatkan isu rasuah dan dua daripadanya menyasarkan bekas menteri di kerajaan pimpinannya, Min Thu.

“Terdapat tuduhan rasuah. Kami tidak pasti mengapa mereka mengenakan dakwaan tersebut atau alasannya. Kami akan mengetahuinya,” katanya.

Tuduhan baharu itu menyebabkan Suu Kyi terikat dengan prosiding undang-undang di tiga bandar berlainan.

Suu Kyi ditahan sejak rampasan kuasa pada 1 Februari lalu dan menghadapi perbicaraan di Naypyitaw atas beberapa tuduhan termasuk memiliki walkie-talkie tanpa kebenaran dan melanggar protokol Covid-19 di bawah undang-undang pengurusan bencana.

Beliau juga didakwa di sebuah mahkamah di Yangon atas tuduhan mencabul Akta Rahsia Rasmi yang tidak ditentukan, dan boleh dipenjara sehingga 14 tahun jika disabit kesalahan.

Bagaimanapun, pasukan guamannya menolak semua pertuduhan tersebut.

Ketua Peguam, Khin Maung Zaw berkata, pemeriksaan balas seorang saksi pendakwaan mendedahkan satu serbuan telah dijalankan di kediaman Suu Kyi tanpa waran. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN