Saintis 'mengamuk' bantah Hari Pembebasan England - Utusan Malaysia

Saintis ‘mengamuk’ bantah Hari Pembebasan England

PENDUDUK beratur untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 di luar sebuah pusat vaksinasi sementara yang ditubuhkan di Stadium Emirates di utara London. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Lebih 1,200 saintis terkemuka di negara ini membantah keputusan kerajaan Britain untuk meneruskan `Hari Pembebasan England’ pada 19 Julai ini.

Lapor Daily Mail, para saintis mengecam dan menyifatkan keputusan melonggarkan sekatan Covid-19 sebagai tindakan jenayah.

Malah, mereka juga melabelkan langkah diambil kerajaan untuk mencapai imuniti kelompak sebagai tidak beretika.

Sebuah gabungan terdiri daripada pakar dan doktor menandatangani satu dokumen disiarkan dalam jurnal perubatan, The Lancet.

Dokumen itu antara lain mengkritik keputusan `tidak saintifik’ Perdana Menteri, Boris Johnson mengenai pelonggaran sekatan Covid-19.

JUTAAN INDIVIDU BELUM TERIMA DOS VAKSIN LENGKAP

Gabungan itu yang merangkumi empat pakar terkemuka dari Kumpulan Penasihat Saintifik untuk Kecemasan (SAGE), mendakwa jutaan orang dewasa di Britain perlu menerima suntikan vaksin lengkap terlebih dahulu sebelum sekatan Covid-19 dapat dilonggarkan bagi menjamin keselamatan.

Gesaan itu dibuat selepas Britain merekodkan kira-kira 50 kes kematian akibat Covid-19 buat pertama kali sejak April lalu.

Antara individu yang menandatangani dokumen tersebut adalah bekas Ketua Penasihat Saintifik kepada David Cameron, David King, Pengerusi Majlis Persatuan Perubatan Britain, Dr. Chaand Nagpaul dan ahli bebas SAGE, Profesor Christina Pagel.

Isnin lalu, Johnson mengesahkan hampir semua sekatan Covid-19 akan ditamatkan bermula minggu depan.

Sebuah carta yang dikeluarkan oleh SAGE menunjukkan pelonggaran sekatan Covid-19 itu boleh mengakibatkan antara 1,000 dan 2,000 kes kemasukan ke hospital dengan 200 kematian setiap hari.

Unjuran situasi terburuk menunjukkan jumlah kemasukan ke hospital mampu mencecah sehingga 25,000 orang, dengan kira-kira 3,000 kes kematian.

KANAK-KANAK BELUM DISUNTIK VAKSIN

 Dokumen yang ditandatangani oleh 1,246 orang, turut menyatakan keputusan melonggarkan sekatan Covid-19 sebagai `kesilapan besar’ kerana golongan kanak-kanak masih belum diberi suntikan vaksin.

Gabungan itu menerusi kenyataan menegaskan langkah terbaharu kerajaan dilihat seolah-olah mendedahkan jutaan penduduk kepada risiko jangkitan wabak secara besar-besaran dalam jangka masa panjang.

Jelasnya, tindakan itu juga akan memberi tekanan besar kepada sistem kesihatan negara yang sedang bergelut dengan pandemik koronavirus.

“Ia juga akan menyebabkan lebih banyak kematian dan penyakit jangka panjang yang tidak dapat dielakkan.

“Tindakan itu juga meletakkan lebih ramai kanak-kanak dan golongan mudah terdedah risiko dijangkiti wabak berkenaan,” jelas kenyataan itu.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN